Polis sedang mengesan beberapa individu dipercayai menimbulkan kekecohan serta mengeluarkan perkataan mengaibkan kepada seorang juruwang di sebuah pasar raya terkemuka, di Taiping, selepas rakaman video pergaduhan itu viral di laman sosial sejak Sabtu.

Ketua Polis Daerah Taiping, Asisten Komisioner Harrith Kam Abdullah berkata, siasatan dibuat selepas menerima laporan daripada wanita berusia 22 tahun yang juga juruwang pasar raya berkenaan.
Menurutnya, wanita itu membuat laporan jam 4.38 petang, Ahad selepas video berkenaan viral di laman sosial kira-kira jam 11.30 malam pada hari kejadian.

Wanita berkenaan dalam laporan polisnya mendakwa, beberapa suspek yang membeli barangan di pasar raya itu pada jam 10.45 malam dipercayai menukar tanda harga barangan sebelum tindakan itu disedarinya.

Kes kini sedang disiasat mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan dan polis akan memohon arahan daripada Timbalan Pendakwa Raya untuk memulakan siasatan.