Polis hari ini meminta lelaki yang membuat aksi berani mati dengan memanjat kren lebih 30 kaki di tapak pembinaan 11 tingkat pusat konvensyen di Jalan Boungainvillea, Ipoh tampil bagi membantu siasatan.  

 

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Sum Chang Keong berkata, ini kerana pegawai keselamatan di tapak pembangunan tersebut telah membuat laporan polis berkenaan pencerobohan yang dilakukan lelaki itu.

 

“Pengadu telah memberitahu mendapat mesej daripada seorang pegawai MBI iaitu seorang lelaki telah panjat ke atas kren yang digunakan dalam projek berkenaan.

 

“Pengadu itu merupakan pegawai keselamatan yang bertanggungjawab terhadap tapak pembinaan yang dicerobohi oleh lelaki yang di dalam video sedang viral itu,” katanya.

 

Beliau berkata demikian dalam satu sidang media selepas majlis penyerahan tugas tiga ketua balai polis Ipoh di IPD Ipoh pada Selasa.

 

Kata beliau, polis masih sedang mengenal pasti identiti lelaki tersebut yang merakamkan aksinya memanjat kren itu dalam sebuah klip video berdurasi 1 minit 22 saat.

 

Jelas beliau, lelaki tersebut dipercayai bukan daripada kumpulan yang sama memanjat mercu tanda “IPOH” baru-baru ini. 

“Kes sedang disiasat dibawah Seksyen 336 Kanun keseksaan iaitu kesalahan bagi perbuatan yang membahayakan nyawa atau keselamatan diri orang lain dan seksyen 447 Kanun Keseksaan kerana menceroboh.


“Cuma saya nak pesan kalau rasa nak panjat itu tolong cari tempat yang sesuai dan bukan tempat larangan atau yang bertuan, itu dah dipanggil menceroboh dan melanggar undang-undang…” ujarnya.