IPOH: Polis menafikan berlaku kejadian cubaan culik kanak-kanak sekolah yang didakwa berlaku di hadapan Sekolah Kebangsaan Sungai Rokam di sini seperti ditularkan di aplikasi Whatsapp baru-baru ini.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Mohd Ali Tamby berkata, walaupun pihaknya telah menerima laporan dari pihak sekolah berkenaan namun tiada elemen culik seperti yang didakwa.

“Kes cubaan culik di salah sebuah sekolah di sini seperti yang diviralkan adalah tidak benar sama sekali, mohon jangan diviralkan.

“Tiada isu atau elemen culik, namun pihak polis ada menerima laporan pada Selasa dari pihak sekolah dan ianya masih dalam siasatan pihak kami,” katanya ketika diminta mengesahkan kejadiaan berkenaan, hari ini.

Baru-baru ini wujud mesej yang tersebar kononnya lima murid sekolah berkenaan hampir diculik oleh beberapa laki bertopeng yang menaiki sebuah van putih pada Jumaat lalu.

Kejadian itu didakwa berlaku ketika semua pelajar berkenaan sedang menunggu di hadapan sekolah selepas selesai latihan bola sepak sekitar jam 4.30 petang.