KUALA LUMPUR: Polis sudah memanggil empat individu untuk mengambil keterangan berhubung kenyataan Tun Dr Mahathir Mohamad mendakwa pesawat yang sepatutnya dinaiki beliau disabotaj pada 27 April lalu.

Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Seri Mazlan Lazim bagaimanapun enggan mendedahkan identiti individu berkenaan.

“Siasatan terhadap Tun M (Tun Dr Mahathir) masih dijalankan mengikut Seksyen 41 Akta Antiberita Tidak Benar 2018 dan siasatan masih diteruskan.

“Setakat ini kami sudah memanggil empat individu yang menjadi saksi terbabit dalam insiden berkenaan,” katanya ketika sidang media Walkabout Pencegahan Jenayah Polis Kuala Lumpur di Pusat Beli-belah MyTOWN, di sini, hari ini.

Dr Mahathir mendakwa pesawat sepatutnya dinaiki beliau disabotaj dengan tayar hadapannya dikesan mengalami kerosakan sebagai usaha menghalang beliau daripada menjadi calon untuk bertanding dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) di Parlimen Langkawi.

Pengerusi Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM), Datuk Seri Azharuddin A Rahman, menerusi kenyataannya, menyatakan tiada sebarang unsur sabotaj dikesan terhadap pesawat Bombardier Challenger CL60, yang sepatutnya dinaiki Dr Mahathir itu, sebaliknya berpunca masalah teknikal kecil dan rutin, iaitu kebocoran tayar sebelah kiri – berita harian

 

BERITA BERKENAANVideo Kontroversi Nga Persenda Dr M