KUALA LUMPUR : Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan memangil Naib Ketua Puteri UMNO, Nurul Amal Mohd Fauzi hari ini berhubung kenyataan beliau berhubung kes amuk dan tetak di di sebuah kilang di Bayan Lepas, Pulau Pinang minggu lalu.

Keterangan itu diambil susulan satu laporan polis dibuat oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seri Delima, Syerleena Abdul Rashid semalam.

Ketua Penolong Pengarah Bahagian Pendakwaan dan Undang- undang (D5) Bukit Aman, Senior Asisten Komisioner Mior Faridalatrash Wahid berkata, keterangan Nurul Amal akan dipanggil pagi ini.

“Siasatan akan dilakukan mengikut Seksyen 505 (c) Kanun Keseksaan dan 233 Akta Komunikasi Multimedia Malaysia,” katanya dalam sidang akhbar di Bukit Aman di sini hari ini.

Dalam perkembangan berasingan, Mior Faridalatrash memberitahu, tiga lelaki yang ditahan pada 26 dan 27 September lalu berkenaan yang mengeluarkan kenyataan berbaur hasutan dan perkauman mengenai kejadian sama bebas reman hari ini.

Ujarnya, ketiga-tiga mereka dibebaskan dengan jaminan polis.

“Kertas siasatan akan dirujuk ke pihak peguam negara dalam masa terdekat untuk tindakan selanjutnya,” jelasnya.

-UTUSAN ONLINE