PETALING JAYA: Pihak polis memantau Tanah Perkuburan Islam Seksyen 9, Kota Damansara, di sini iaitu lokasi untuk menggali semula kubur jenazah Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Cradle Fund Sdn Bhd (Cradle Fund), Allahyarham Nazrin Hassan.

Wartawan yang membuat tinjauan di lokasi mendapati sebuah kereta peronda polis (MPV) dengan dua anggota tiba di lokasi jam 12.30 tengah hari tadi dan beredar selepas berada di lokasi kira-kira 30 minit.

Difahamkan, mereka diarahkan pihak atasan supaya membuat pemantauan di lokasi berkenaan dan melaporkan sebarang kegiatan atau pergerakan di tanah perkuburan itu.

Terdahulu, Mahkamah Majistret di sini hari ini membenarkan polis untuk menggali semula kubur jenazah Allahyarham Nazrin yang meninggal dunia dalam kebakaran di rumahnya di Mutiara Damansara Jun lalu.

Difahamkan, permohonan itu dibuat untuk mendapatkan mayat Nazrin bagi menjalankan bedah siasat kali kedua.

Pada 4 September lalu, isteri Nazrin, Samirah Muzaffar dan bekas suaminya yang masing-masing berusia 43 tahun ditahan reman tujuh hari bagi membantu siasatan kes itu.

Turut ditahan reman, anak tiri Nazrin yang berusia 14 dan 16 tahun pada 9 September lalu.

Selain itu, pada 24 September lalu, sepasang suami isteri yang juga adik ipar kepada Nazrin pula direman empat hari. Bagaimanapun, kesemua suspek dibebaskan selepas tamat reman – berita harian