PARIT : Polis Perak sedia membantu mengesan Pengerusi PKR Perak, Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak yang menghilangkan diri setelah dipercayai terlibat dalam rusuhan bersenjata di Kompleks Sukan Arena All Stars, Taman Dagang Permai, 31 Ogos lalu.

Ketua Polis Perak, Datuk Razarudin Husain berkata, pihaknya akan membantu dalam usaha pencarian individu yang dikehendaki itu sekiranya diperlukan.

“Sekiranya perlu untuk kita membantu mengesan (Farhash Wafa), kita akan memberi bantuan.

“Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador telah pun memberi kenyataan beliau berhubung kes itu dan sekiranya bantuan dipohon daripada pihak kita (polis Perak), kita akan bantu dari segi risikan dan maklumat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menyempurnakan Majlis Pemakaian Pangkat dan Serah Terima Tugas Ketua Polis Daerah Perak Tengah di Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Perak Tengah di sini hari ini.

Pada majlis tersebut, bekas Ketua Polis Daerah Bandar Baharu, Superintenden Barudin Wariso dilantik sebagai Ketua Polis Daerah Perak Tengah menggantikan Asisten Komisioner Mohamad Zainal Abdullah yang dinaikkan pangkat sebagai Penolong Pengarah Bahagian Pendakwaan dan Undang-undang (D5) Bukit Aman.

Abdul Hamid dalam kenyataannya kelmarin menggesa Farhash Wafa tampil menyerah diri untuk direkodkan percakapan sekali gus membantu siasatan kes berkenaan walaupun laporan polis telah ditarik balik mangsa.

Dalam kejadian pada pukul 9 malam 31 Ogos lalu, seorang jurulatih tinju berusia 29 tahun diserang dengan topi keledar, pisau dan kerusi oleh sekumpulan 12 lelaki termasuk Farhash Wafa ketika berada di tempat letak motosikal di luar kompleks sukan tersebut.

Farhash Wafa sebelum ini telah diminta tampil menyerah diri ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang Jaya namun sehingga kini, Setiausaha Politik kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim itu gagal berbuat demikian.