IPOH: Polis Perak berjaya membendung kegiatan kongsi gelap yang menjadikan tapak projek perumahan di kawasan pinggir bandar sebagai sasaran untuk memeras ugut atau meminta wang perlindungan.

Kejayaan itu hasil tangkapan 37 anggota kumpulan kongsi gelap di seluruh negeri dua tahun lalu.

Pemangku Ketua Polis Perak, Datuk Razarudin Husain berkata, selepas daripada itu, tiada lagi laporan yang diterima mengenai kegiatan itu.

“Selepas daripada itu, kita dapati tiada lagi laporan ataupun tiada lagi maklumat-maklumat yang kita terima daripada peniaga-peniaga mahu pun pengusaha-pengusaha developer di luar.

“Maklumat dan juga risikan dari pihak JSJ kita teruskan, kita memang teruskan lagi.

“Kita nampak bahawa di sini apa-apa kegiatan kongsi gelap, kita akan ambil tindakan sama ada daripada segi Sosma ataupun Poka,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri perhimpunan bulanan di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak di sini, pada Khamis.

Sebelum ini, Ketua Penolong Pengarah Bahagian Anti Maksiat, Perjudian dan Kongsi Gelap Bukit Aman, Datuk Rohaimi Md Isa mendedahkan,
kumpulan kongsi gelap kini menjadikan tapak projek perumahan di kawasan pinggir bandar sebagai sasaran untuk memeras ugut atau meminta wang perlindungan.

Kawasan pinggir bandar di Lembah Klang, Johor, Pulau Pinang dan Perak adalah antara lokasi panas yang menjadi sasaran kumpulan kongsi gelap itu.