IPOH: Polis berjaya memberkas seorang buruh dan merampas lima bungkusan plastik mengandungi dadah jenis heroin seberat 2,238.49 gram yang dianggarkan bernilai RM35,000.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Narkotik Perak, ACP R. Ravi Chandran berkata, lelaki berusia dalam lingkungan 25 tahun ini diberkas sepasukan pegawai dan anggota dari JSJ Narkotik IPK Perak dan daerah Taiping di hadapan pasar mini di Kamunting, Taiping pada Rabu lalu.

Menurut beliau, hasil semakan mendapati suspek tidak mempunyai sebarang kesalahan lampau dan ujian air kencing turut mendapati suspek negatif dadah.

“Suspek direman selama tujuh hari mulai hari ini hingga 6 April dan kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman mandatori, gantung sampai mati,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak di sini pada Jumaat.

Ravi Chandran memberitahu, dadah yang dirampas itu boleh dibekalkan kepada kira-kira 2,000 penagih dan polis percaya dadah berkenaan adalah untuk edaran sekitar Taiping.

“Pihak PDRM mengucapkan ribuan terima kasih kepada orang awam yang menyalurkan maklumat dan berharap mendapat sokongan berterusan dalam pembenterasan pengedaran dadah di Perak,” ujarnya.