IPOH: Polis Diraja Malaysia (PDRM) Perak akan mencadangkan kepada pihak mahkamah untuk tidak lagi memberi jaminan polis kepada pesalah-pesalah dadah yang mempunyai rekod lampau.

Ketua Jabatan Siasatn Jenayah Narkotik Perak, R. Ravi Chandran berkata, cadangan itu penting bagi memastikan masyarakat berasa selamat tanpa kehadiran pesalah-pesalah berulang.

“Kami faham kegusaran yang dialami masyrakat dengan kehadiran ramai pesalah dadah yang berulang kali ditangkap, berulang kali dituduh di mahkamah dan balik ke komuniti kerana diberi jaminan polis,” katanya dalam satu sidang media khas di Ipoh pada Khamis.

Menurut beliau, cadangan itu boleh diguna pakai di bawah Peruntukan Seksyen 41 (B) Akta Dadah Berbahaya di mana mahkamah mempunyai hak untuk tidak membenarkan jaminan kepada pesalah berulang demi kepentingan awam.

 

“Cadangan ini telah mulakan tahun ini dengan harapan bahawa mereka ini dapat disingkirkan daripada masyarakat,” ujar beliau.

Sementara itu, Ravi Chandran memberitahu, pihaknya telah menangkap 13,468 pesalah dadah di Perak sepanjang 2016 dan jumlah rampasan pelbagai jenis dadah yang telah dibuat berjumlah RM8.8 juta.

Bagi pengedar dadah pula, beliau berkata, seramai 2,220 orang telah ditahan dan sejumlah RM8.4 juta nilai rampasan berbagai jenis harta benda termasuk rumah, tanah, barang kemas, kenderaan dan akaun dalam bank milik pengedar-pengedar berkenaan.