IPOH: Polis Kontinjen Perak berjaya mencatatkan peratusan tertinggi penyelesaian kes yang dibuka sepanjang tahun 2018.

Pemangku Ketua Polis Perak, Datuk Razarudin Husain berkata, daripada 5,128 kes yang dibuka, sebanyak 3,667 kes berjaya diselesaikan.

Menurut beliau, ini bermakna setiap 10 kes yang dibuka tahun lalu, tujuh daripadanya berjaya diselesaikan atau sekitar 71.5 peratus.

“Dari segi penyelesaian kes mengikut kontinjen, kontinjen Perak adalah yang nombor satu sekali, di atas sekali,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri perhimpunan bulanan di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak di sini, pada Khamis.

Beliau berkata, statistik keseluruhan penurunan kes jenayah hanya 4.5 peratus tetapi penurunan kes jenayah ‘fear crime’ lebih menjadi keutamaan.

“Dalam mesyuarat jawatankuasa keselamatan negeri Perak baru-baru, Menteri Besar (Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu) turut berpuas hati dengan kadar jenayah ‘fear crime’ yang rendah,” ujarnya.

Dalam pada itu, kata Razudin, pihaknya mendapat bantuan daripada pihak D8 Bukit Aman untuk membendung kegiatan militan, seperti Daesh di seluruh Perak.

“Operasi dan tindakan awal PDRM sebelum ini sedikit sebanyak telah mengekang pengaruh pihak militan Daesh daripada berkembang giat,” kata beliau.