IPOH – Polis tidak akan berkompromi dengan mana-mana pegawai mahupun anggota yang didapati terlibat dalam kes penyeludupan migran terutama di kawasan sempadan negara.

Ketua Polis Perak, Datuk Razarudin Husain berkata, peringatan itu penting bagi membendung aktiviti penyeludupan meskipun kes seperti itu masih belum serius di Perak.

“Penekanan ini adalah supaya kes-kes begini tidak serius dan kita tidak mahu anggota atau pegawai kita terlibat sama, itu yang mustahak pada saya.

“Sekiranya kita dapat mengesan ada anggota atau pegawai terlibat, saya tanpa ragu-ragu untuk mengambil tindakan terutama dengan memaklumkan kepada Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard PDRM Bukit Aman,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Perhimpunan Bulanan Kontinjen Perak bagi Bulan Julai 2019 di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Negeri di sini hari ini.

Terdahulu, Razarudin ketika berucap menyatakan kes penyeludupan manusia melibatkan warga asing tidak harus diambil mudah.

“Kawalan keselamatan di sempadan Malaysia dan Thailand harus dipertingkatkan bagi membendung aktiviti itu daripada terus berlaku.

“Penglibatan warga PDRM dalam menjadi dalang kepada sindiket ini harus dielakkan serta tindakan tegas diambil sekiranya berlaku,” katanya.

 

-SINARHARIAN