IPOH: Polis Perak mengenal pasti 14 lokasi panas kemalangan maut manakala 52 lokasi kemalangan jalan raya di semua Jalan Persekutuan di negeri ini sempena Op Selamat 13/2018.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) negeri, Superintendan Ahmad Adnan Basri, berkata untuk itu seramai 450 pegawai dan anggota JSPT kontinjen Perak dibahagikan kepada 10 kumpulan bagi membuat pemantauan kerap di lokasi berkenaan.

Katanya, ia bertujuan untuk mengurangkan kadar kemalangan di kawasan hitam dan kawasan panas di semua jalan Persekutuan di negeri ini.

Beliau berkata, 14 lokasi kemalangan maut utama di negeri iaitu lima di daerah Manjung, empat di daerah Gerik, tiga (3) di Taiping, satu (1) di daerah Muallim, Hilir Perak (1).

“Bagi kawasan panas yang sering berlaku kemalangan, kita kenal pasti 52 lokasi termasuk 14 di daerah Gerik dan lima di Manjung serta daerah Ipoh, Kampar, Sungai Siput dan Kerian masing-masing merekodkan empat lokasi.

“Sepuluh kumpulan yang dipecahkan itu akan dibantu oleh Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik di IPD (Ibu Pejabat Daerah) masing-masing bagi memastikan rondaan kerap dilakukan di kedua-dua kawasan berkenaan sepanjang Ops Selamat selama dua minggu yang bermula 8 Jun dan berakhir 22 Jun ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Ops Perdagangan sempena Ops Selamat 13/2018 di Plaza Tol Ipoh Selatan arah utara di sini tengah malam tadi.

Ahmad Adnan berkata, sepanjang dua minggu Op Selamat 13/2018 dilancarkan, pihaknya turut menjalankan Op Motosikal berikutan kenderaan itu menjadi penyumbang utama kepada kemalangan jalan raya dan kemalangan maut di negeri ini.

“Dalam tempoh 8 Jun hingga 11 Jun lalu, kita keluarkan sebanyak 956 saman terhadap penunggang motosikal,” katanya.

Dalam Op Perdagangan yang bermula pada jam 9 malam hingga 12 tengah malam itu, sebanyak 37 saman dikeluarkan hasil pemeriksaan terhadap 92 kenderaan dalam tempoh tiga jam operasi berkenaan dijalankan.

Katanya, operasi membabitkan seramai 10 pegawai dan 25 anggota JSPT Perak yang menjalankan pemeriksaan terhadap pemandu bas dan lori yang melalui susur keluar plaza tol berkenaan, malam tadi.

Ahmad Adnan berkata, sebanyak 18 saman dikeluarkan kepada pemandu kereta manakala enam membabitkan pemandu lori dan lima kepada pemandu treler.

“Tiga belas daripada 37 saman yang dikeluarkan membabitkan kesalahan pandu melebihi had laju dan enam membabitkan kesalahan lesen tamat tempoh atau tiada lesen memandu.

“Operasi yang turut dibantu Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik IPD Ipoh itu bagaimanapun mendapati semua pemandu lori dan bas diperiksa bebas daripada pengaruh dadah,” katanya – berita harian