GOPENG: Polis Perak melancarkan Ops Kesan khas sebagai usaha terbaharu untuk mencari peserta Gopeng Ultra Trail, Mohamad Ashraf Hassan, 29, yang dilaporkan hilang sejak 23 Mac lalu.

Operasi yang diketuai sendiri Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Perak, Senior Asisten Komisioner Yahya Abd Rahman.

Ketua Polis Perak, Datuk Razarudin Husain berkata, seramai 170 anggota dan pegawai polis, termasuk dari Bukit Aman dan unit anjing pengesan K9 terlibat dalam operasi itu.

Menurut beliau, tumpuan akan diberikan kepada 10 kilometer persegi kawasan baru di samping Kampung Jahang dan Bukit Batu Puteh.

“Operasi dibantu oleh agensi penyelamat bomba, pertahanan awan dan pencarian ini kita mencari kawasan kita rasa belum diliputi dan juga daripada maklumat-maklumat yang kita terima kita pergi ke kawasan tersebut.

“Kita mengharapkan, kalau tidak hari ini, mungkin esok ataupun lusa kita boleh mengesan Acap dan perlu tahu dan merungkai atas kehilangannya,” katanya.

Beliau ditemui selepas melancarkan Ops Kesan di Kampung Pintu Padang, Gopeng pada Sabtu.

Beliau turut meminta orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi atau menularkan perkara-perkara yang tidak benar mengenai kehilangan Mohamad Ashraf.

Menurutnya, ia boleh mengambarkan seolah-olah pasukan penyelamat tidak membuat kerja.

Di samping itu, katanya, ia juga boleh menyinggung perasaan keluarga mangsa.