IPOH – Polis Perak mengenalpasti serta memantau 14 ‘blackspot’ kemalangan maut dan 51 kawasan yang kerap berlaku kemalangan di negeri ini.

Ketua Polis Negeri, Datuk Hasnan Hasan berkata statistik kemalangan bagi Op Selamat 11, Hari Raya Aidilfitri tahun lalu mencatatkan jumlah kemalangan sebanyak 1,944 dengan 31 kemalangan maut dan 35 kematian.

Menurutnya polis meletakkan sasaran untuk mengurangkan statistik tersebut terutama yang melibatkan kemalangan maut.

Sementara itu, beliau berkata Unit Siasatan Lebuhraya (USLR) di bawah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik diyakini mampu memudahkan pengguna lebuhraya yang mahu pulang ke kampung sempena musim perayaan.

Katanya USLR yang memulakan operasi pada September 2016, berfungsi untuk menjalankan tugas siasatan kemalangan kecil yang berlaku di sepanjang Lebuhraya Utara Selatan (PLUS).

“Program ini telah memasuki kali kedua dilaksanakan yang membabitkan kemalangan-kemalangan kecil, kebiasaannya bagi mengelak kesesakan apabila berlaku kemalangan kecil.

“Sekiranya mereka terpaksa ke balai untuk buat laporan, ia mungkin akan memakan masa lama, oleh itu petugas kami sendiri akan ke tempat kejadian dan catat keterangan,”katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita di Majlis Pelancaran Op Selamat 13/2018 sempena Hari Raya Aidilfitri peringkat PDRM Kontinjen Perak di Tol Jelapang arah Selatan pada Rabu.

USLR diwujudkan di tiga zon sepanjang lebuhraya PLUS iaitu di Zon Utara (Kangar-Ipoh), Zon Tengah (Ipoh-Seremban) dan Zon Selatan (Seremban-Johor Bahru).

Sementara itu beliau menasihatkan agar orang ramai untuk memaklumkan kepada pihak polis ketika jika mahu meninggalkan rumah untuk pulang berhari raya.

“Kita merayu pada orang awam untuk maklumkan pada pihak polis kalau tinggalkan rumah, supaya kita boleh pantau apa yang perlu.

“Kemungkinan kurangnya kejadian pecah rumah atau kecurian menyebabkan mereka tidak membuat laporan atau maklum pada pihak polis,”katanya.

Terdahulu, Hasnan menyempurnakan ‘flag Off’ pasukan petugas Op Selamat di samping menyampaikan goodies bag kepada pengguna lebuhraya.