IPOH: Polis Perak berjaya menyelamatkan 18 warga asing yang menjadi mangsa pemerdagangan melalui ekploitasi kerja paksa, dalam satu serbuan di sebuah kilang di Kampung Kepayang, di sini, hari ini.

 

Mereka terdiri daripada 12 lelaki warga Bangladesh, lima lelaki Myanmar dan seorang wanita Myanmar, yang berumur antara 20 dan 40 an.

 

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Perak, Senior Asisten Komisioner (SAC) Yahya Abd Rahman berkata, dalam serbuan kira-kira jam 9.15 pagi itu, polis juga berjaya menahan tiga wanita berumur dalam lingkungan 20an hingga 40an, yang dipercayai pemilik kilang.

 

Menurut beliau, ketiga-tiga wanita itu yang mempunyai hubungan kekeluargaan serta beralamat di Ipoh dan Cameron Highlands, Pahang, mengaku menguruskan semua mangsa yang bekerja di kilang tersebut.

 

“Kilang tersebut dipercayai merupakan tempat memproses dan membungkus sayur-sayuran yang diambil dari Cameron Highlands dan kemudian akan dihantar ke pasaraya besar di seluruh kawasan Ipoh,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

 

Menurut SAC Yahya, hasil serbuan dan pemeriksaan yang dilakukan, pihak polis mendapati pemilik kilang gagal menunjukkan sebarang dokumen atau permit kerja bagi semua mangsa yang bekerja di kilang tersebut.

 

Beliau menambah, pihak polis juga merampas selaras senjata yang menyerupai senjata api (senjata api tiruan), yang mengandungi bebola kecil warna putih dalam kelopak senjata, dipercayai peluru senjata berkenaan.

 

Katanya, hasil siasatan awal dari salah seorang mangsa, mendakwa majikan sudah tiga bulan tidak membayar gaji mereka dengan alasan gaji akan diberi sekiranya mangsa ingin bekerja di tempat lain atau pulang ke kampung.

 

Menurutnya, mangsa juga dipaksa untuk bekerja setiap hari tanpa cuti rehat dari jam 8 pagi sehingga 12 tengah malam dengan bayaran RM32.00 sehari dan sekiranya mahu bercuti, gaji akan dipotong tiga hari bekerja.

 

“Kes akan disiasat di bawah Seksyen 12 Akta AntiPemerdagangan Orang dan AntiPenyeludupan Migran (ATIPSOM 2007), Sek.55B Akta Imigresen 1959/63 atas kesalahan membenarkan warganegara asing bekerja tanpa permit kerja yang sah dan Sek.36 Akta Senjatapi 1960 memiliki senjata tiruan,” ujarnya.

 

Beliau berkata, pihak polis akan terus mempertingkatkan usaha untuk mengesan serta membenteras sebarang bentuk kegiatan pemerdagangan orang dan penyeludupan manusia di negeri Perak dan menyeru semua pihak memainkan peranan dalam menyalurkan maklumat kepada pihak polis.