IPOH – Polis Perak mahu terus memastikan pengurusan keselamatan jalan raya sentiasa diberikan keutamaan.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Perak Superintendan Zakaria Abd Rahman berkata, pengurusan keselamatan jalan raya itu diharap dapat memberikan manfaat kepada orang ramai khususnya dalam membantu mengurangkan kadar kemalangan jalan raya.

“Keutamaan ini kita akan buat melalui operasi, penguatkuasaan serta advokasi oleh pihak Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT), Perak.

“Operasi-operasi ini juga akan kita lakukan secara operasi bersepadu yang akan kita lakukan,” katanya kepada Sinar Harian.

Zakaria berkata demikian pada majlis serah terima tugas Majlis Serah Terima Tugas Ketua JSPT di Bilik Mesyuarat Utama Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK), Perak, pagi tadi.

Zakaria menerima tugasan berkenaan daripada Deputi Superitendan Abdul Aziz Abd Rahman dengan disaksikan Ketua Jabatan Pencegahan Jenayah Keselamatan Komuniti (KJPJKK) Perak Senior Assistant Komisioner Mohamad Laham.

Sementara itu Zakaria berkata, kejayaan Kontinjen Perak muncul selaku Kontinjen Terbaik Sempena Ops Selamat 14 sempena Sambutan Tahun Baharu Cina baru-baru ini perlu terus dipertahankan.

Malah menurut bekas Ketua Penolong Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman itu, pihaknya turut memberikan fokus terhadap usaha menangani masalah samseng jalanan.

“Secara keseluruhannya, kita mahu merakyatkan keselamatan jalan raya dan berharap ia diaplikasikan oleh masyarakat.

“Kita hanya tambah nilai yang telah dibuat oleh pimpinan terdahulu,” katanya – sinar harian