IPOH– Polis Perak berjaya menumpaskan kumpulan samun dan curi mesin excavator yang aktif melakukan jenayah di beberapa daerah di negeri ini.

Menurut Ketua Polis Perak, Datuk Hasnan Hassan, dengan tertangkapnya dalang ini, ia berjaya menyelesaikan 10 kes samun dan curi mesin excavator bermula awal tahun hingga September lalu.

“Pihak Jabatan Siasatan Jenayah Kontinjen Perak telah menjalankan operasi khas untuk memburu dan menangkap suspek.

“Kita berjaya menangkap 6 lelaki berumur antara 33 hingga 65 tahun di sekitar Ipoh, Kampar dan Manjung.

“Sebanyak 10 kes dilakukan kumpulan ini di Perak yang melibatkan kerugian oleh mangsa lebih kurang RM 500,000,”katanya dalam satu kenyataan di sini pada Selasa.

Dalam pada itu, ujarnya suspek turut mempunyai beberapa rekod jenayah lampau di bawah kes samun, curi dan dadah.

“Pihak polis berjaya merampas barang kes yang dianggarkan lebih kurang RM 200,000 iaitu sebuah mesin excavator jenama Sumitomo, sebuah motorlori dan beberapa komponen mesin excavator.

“Pecahan kes mengikut daerah iaitu Kuala Kangsar 4 kes, Manjung 4 kes Gerik 2 kes,” ujarnya.