IPOH – Polis Kontinjen Perak akan mengadakan latih amal bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) pada 3 Mac dan 4 Mac yang dirancang mirip kepada keadaan dan ancaman sebenar yang berkemungkinan berlaku semasa PRU14.

Ketua Polis Perak Datuk Hasnan Hassan berkata latih amal ini akan dilaksanakan di semua Ibu Pejabat Polis Daerah Kontinjen Perak untuk menguji keberkesanan perancangan dan tindakan polis dalam menghadapi situasi ancaman keselamatan dan ketenteraman.
Ia juga untuk memastikan pegawai dan anggota Polis Kontinjen Perak sentiasa berada dalam keadaan siap siaga untuk menghadapi PRU14 akan datang.
“Semua Ibu Pejabat Polis Daerah di dalam Kontinjen Perak akan bekerjasama dengan Suruhanjaya Pilihan Raya untuk merancang dan melaksanakan simulasi Hari Mengundi, Penjumlahan Undi dan Pasca PRU.
“Pegawai dan anggota polis akan diatur gerak dan bertugas di lokasi-lokasi terpilih di setiap daerah untuk menjalankan simulasi tersebut termasuk simulasi rusuhan bagi tujuan memantapkan tahap kesiapsiagaan polis,” kata beliau dalam satu kenyataan media hari ini.
Simulasi rusuhan Pasca PRU akan bermula pada 4 Mac mulai jam 2.45 petang sehingga 6 petang melibatkan Jalan Raja Dihilir dan Jalan Raja Dr Nazrin Shah.
Pihak polis akan menutup dan membuat lencongan jalanraya iaitu Jalan Sultan Idris Shah berhampiran bulatan, Jalan Raja Dr Nazrin Shah dan Jalan Raja Dihilir yang dilencongkan ke pusat bandar.
Hasnan meminta orang ramai tidak panik dan bimbang melihat kehadiran pihak polis yang membuat latihan.
Beliau juga menasihatkan agar orang awam dapat mengikuti setiap arahan daripada pihak polis yang bertugas di setiap lokasi latih amal ini dilakukan.
“Semua pihak diharap dapat memberikan kerjasama untuk memastikan latih amal PRU14 ini berjalan dengan lancar untuk mengelakkan sebarang kejadian yang tidak diingini daripada berlaku,” tambah beliau.