KUALA LUMPUR: Polis perlu sentiasa berada dalam keadaan siap siaga bagi mengawal sebarang provokasi dan kekecohan sehingga menyebabkan keselamatan awam digugat jika Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) dimansuhkan nanti.

Bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar, berkata polis juga perlu berada selangkah di depan dengan mengambil kira peruntukan undang-undang lain yang berkaitan bagi memastikan aspek keselamatan rakyat dapat dikawal secara menyeluruh.

“Pendirian saya, SOSMA boleh ditambah baik, tidak perlu dimansuhkan namun keputusan itu hanya boleh dibuat oleh kerajaan. Sekiranya ia dimansuhkan, PDRM perlu bersedia dengan sebarang kemungkinan.

“Ada banyak undang-undang lain berkaitan yang boleh digunakan bagi membela hak asasi manusia dan menjaga ketenteraman awam daripada digugat individu lain (termasuk geng samseng),” katanya ketika dihubungi NSTP, hari ini.

Sementara itu, Presiden Persatuan Keselamatan Pengguna (PKP), Samsudin Mohamad Fauzi, berkata kerajaan wajar mengembalikan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) 1960 sekiranya mengambil keputusan untuk memansuhkan SOSMA.

“Saya tahu ada beberapa kelompangan dalam ISA, namun ia perlu jika SOSMA dimansuhkan.

“Mungkin ISA itu perlu diubah suai, kaji mengikut sudut yang lebih praktikal.

“Kita tidak mahu nanti gengster dan kumpulan kongsi gelap ‘bermaharajalela’ di negara ini kerana pihak berkuasa tidak mengambil tindakan dan mengenakan hukuman setimpal susulan tiada undang-undang khas bagi menangani masalah berkaitan,” katanya.

Pada 13 September lalu, Kementerian Dalam Negeri (KDN) dilaporkan mengesahkan rumusan cadangan pemansuhan SOSMA berada pada peringkat terakhir sebelum diserahkan kepada Jemaah Menteri.

Ketua Setiausaha KDN, Datuk Seri Alwi Ibrahim, berkata jawatankuasa khas ditubuhkan kementerian itu sudah mengadakan siri mesyuarat bagi mengkaji kebaikan dan kelemahan memansuhkan akta berkenaan – berita harian