KUALA LUMPUR: Polis akan memanggil penganjur perhimpunan bantah ratifikasi Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD) yang akan diadakan secara besar-besaran di ibu negara pada 8 Disember depan.

Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Noor Rashid Ibrahim berkata, polis juga sudah menerima notis daripada penganjur perhimpunan berkenaan.

“Jadi, polis akan memanggil penganjur bagi diambil keterangan dan memastikan perhimpunan itu nanti dijalankan secara aman mengikut peruntukan undang-undang di negara ini.

“Jika ada sebarang masalah, penganjur perlu bertanggungjawab sepenuhnya,” katanya dalam sidang media diadakan di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, hari ini.

Perhimpunan membantah ICERD itu dibuat susulan kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Perpaduan), P Waytha Moorthy, yang menyatakan bahawa kerajaan berhasrat untuk menandatangani ratifikasi ICERD.

Ia bukan saja mendapat bantahan pembangkang seperti UMNO serta cabang pergerakannya, sebaliknya turut dibantah oleh pelbagai pertubuhan bukan kerajaan (NGO) selain pemimpin parti komponen dalam Pakatan Harapan (PH).

Antara yang membantah ratifikasi ICERD itu termasuk Menteri Besar Kedah merangkap Timbalan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), Datuk Seri Mukhriz Mahathir; Menteri Belia dan Sukan merangkap Ketua Angkatan Bersatu Anak Muda (ARMADA) BERSATU, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman serta Timbalan Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH), Datuk Salahuddin Ayub – berita harian