TAPAH – Polis telah merakam percakapan seorang saksi untuk membantu siasatan kes kemalangan maut sembilan orang melibatkan sebuah van dan lori membawa muatan ais di Kilometer 45, Jalan Ipoh-Teluk Intan, Mambang Diawan di sini kelmarin.

Ketua Polis Daerah Tapah, Superitendan Som Sak Din Keliaw berkata, penahanan terhadap lelaki berusia 47 tahun itu dilakukan selepas pihak polis menemui satu nombor plat kereta lain pada pukul 4 petang selepas kejadian berlaku.

Jelasnya, berdasarkan nombor plat itu, polis berjaya menjejak pemandu kereta tersebut yang tinggal di Langkap, Teluk Intan dekat sini.

“Berdasarkan keterangan lelaki itu, lori yang membawa muatan ais telah melanggar bahagian kanan kereta jenis Proton Iswara yang dipandunya sebelum merempuh van jenis Nissan Vanette yang dinaiki sembilan mangsa yang maut.

“Pelanggaran itu menyebabkan kereta lelaki itu berpusing sebanyak dua kali sebelum berhenti di sebelah kiri jalan,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Tapah di sini sebentar tadi.

Menurut Som Sak, selepas kejadian, lelaki tersebut telah turun daripada keretanya untuk melihat kemalangan membabitkan dua kenderaan itu sebelum bertindak melarikan diri. – K! ONLINE