TELUK INTAN: Polis Daerah Hilir Perak merampas 140 buah motosikal pelbagai jenama dan memeriksa 109 orang, termasuk empat remaja  perempuan yang masih belajar, dalam satu Operasi Bersepadu Samseng Jalanan / Ops Lejang pada petang Sabtu.

 

Timbalan Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Superintenden Yahaya Hassan berkata, mereka ditahan ketika berkumpul di Jalan Speedy di sini selepas polis mendapat maklumat mengenai persediaan mereka untuk mengadakan lumba haram di kawasan Jalan Sultan Abdullah dan kawasan Selabak dekat sini.

 

Menurut Yahya, bertindak atas maklumat itu, sepasukan enam pegawai serta 21 anggota polis telah menyerbu kawasan berkenaan dan menahan kesemua mereka kira-kira jam 4 petang.

 

“Mereka diarah menolak motosikal masing-masing sejauh tiga kilometer untuk ke IPD Hilir Perak sebelum direkodkan keterangan serta dilakukan ujian saringan air kencing,” katanya kepada pemberita di IPD Hilir Perak pada Isnin.

 

Yahaya berkata, hasil siasatan, polis telah mengeluarkan sebanyak 140 saman pol dan 257 saman untuk pelbagai kesalahanan di samping menyesaikan 17 waran tangkap.

 

Menurut beliau, sebanyak 51 motosikal turut ditahan kerana tiada cukai jalan dan insurans serta menunggang tanpa lesen memandu yang sah.

 

Katanya, seramai 29 lelaki dan empat perempuan diperiksa air kencing dan hasilnya seorang lelaki berusia 29 tahun didapati positif dadah jenis ampethamine.

 

Operasi kira-kira jam 3 pagi Ahad.

 

Yahaya memberitahu, operasi itu dijalankan selepas polis  menerima banyak aduan berhubung tindakan samseng jalanan yang sering melakukan perlumbaan haram.

 

“Kami akan terus memperhebatkan ops ini bagi membendung kegiatan perlumbaan haram dan  kami juga minta orang ramai supaya menyalurkan maklumat  berhubung apa sahaja tindakan yang mencurigakan termasuk kegiatan samseng jalanan ini,” ujarnya.