KUALA LUMPUR: Polis merampas kira-kira 150 beg tangan dan kasut dari salah satu kediaman di kondominium Pavilion milik anak perempuan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, minggu lalu.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Bukit Aman , Datuk Seri Amar Singh Ishar Singh, berkata barangan dirampas terdiri daripada pelbagai jenama terkenal termasuk Hermes.

“Banyak barangan terdiri daripada jenama terkenal dirampas, kebanyakan kasut yang dirampas berjenama Hermes, jenama dari Paris,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, katanya, pihaknya tidak boleh memberi satu tempoh masa membabitkan proses mengenal pasti ketulenan dan nilai barangan terbabit.

“Kita tidak boleh bagi satu tempoh masa, kini kita sedang dalam proses mendapat khidmat pakar luar untuk menilai harga dan ketulenan barangan terbabit,” katanya.

Ketika ditanya jika Najib atau anaknya akan dipanggil polis untuk memberi keterangan, Amar berkata pihaknya akan berbuat demikian selepas proses penyiasatan mencapai peringkat tertentu.

“Menyentuh siasatan ini, 13 kenyataan sudah direkodkan yang dikaitkan dengan penyiasatan 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

“Rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di beberapa lokasi berkaitan juga masih dinilai jika ia mempunyai kaitan dengan isu berbangkit,” katanya.

Dalam pada itu, Amar Singh berkata pihak polis turut mengesahkan dua daripada tiga unit kondominium mewah di ibu negara yang diperiksa baru-baru ini adalah milik anak Najib iaitu Nooryana dan Mohd Ashman manakala satu unit lagi dimiliki individu bergelar Tan Sri.

“Bagaimanapun, identiti Tan Sri berkenaan tidak dapat didedahkan, ia akan jadi sebahagian daripada siasatan dan saya rasa tidak wajar untuk saya mendedahkannya sekarang,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Amar Singh berkata polis perlu membuat siasatan penuh sebelum mengambil tindakan selanjutnya berhubung permintaan pemulangan baki sumbangan kempen dan dana kepada UMNO pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), yang dirampas pihak berkuasa.

Semalam, UMNO, dalam satu kenyataan menyebut dana itu amat diperlukan dalam proses pembinaan semula parti itu – berita harian