TUMPAT: Pasukan Polis Marin (PPM) Pengkalan Kubor merampas lebih lapan tan beras dipercayai diseludup dalam Ops Gelora Khas di sekitar daerah ini selama empat hari yang berakhir hari ini.

Timbalan Komander PPM Wilayah Tiga, Superintendan Mohamad Pajeri Ali, berkata beras sebanyak 8.3 tan itu diisi dalam 318 kampit bernilai RM31, 400.

Beliau berkata operasi itu mengumpulkan 15 kes.

Selain beras, turut dirampas dalam operasi sempena Ramadan itu adalah 35 kotak ayam beku dan dua bot nelayan bersama peralatan dan hasil laut.

“Jumlah keseluruhan nilai rampasan adalah berjumlah RM198,350 dan seramai 14 individu yang berusia dalam lingkungan 28 hingga 58 tahun ditahan termasuk tiga warga Thailand.

“Lokasi operasi adalah di beberapa pangkalan haram di kawasan Sungai Golok, perairan laut Kuala Besar (Kota Bharu), premis menjual beras di Wakaf Bharu dan jeti nelayan Tok Bali (Pasir Puteh),” katanya ketika sidang media di markas operasi PPM Pengkalan Kubor di sini, hari ini.

Sebanyak 11 kes disiasat mengikut Akta Kastam 1967 dan masing-masing dua kes ikut Akta Perikanan 1985 dan akta di bawah Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) 2011.

Mohamad Pajeri berkata beras adalah komoditi utama yang diseludup disebabkan permintaannya dari negara ini kerana harga yang dijual di Thailand jauh lebih murah.

Katanya lagi operasi itu akan diteruskan sepanjang Ramadan dan menjelang Aidilfitri bagi memastikan tiada barangan larangan diseludup masuk dan keluar.

“Berdasarkan senario semasa, sasaran kita tetap untuk mengekang penyeludupan senjata api, dadah, beras, bahan mentah api, minyak masak dan barangan subsidi lain.

“Kami menyeru kepada orang ramai agar terus menyalurkan maklumat kepada pihak berkuasa supaya kegiatan penyeludupan dapat dikurangkan,” katanya – berita harian