ISKANDAR PUTERI: Polis merampas 21,500 pil dipercayai ecstacy bernilai RM645,000 untuk diseludup ke luar negara berhampiran sebuah kelong di Sungai Pulai.

Dalam kejadian jam 6 petang kelmarin, dua lelaki tempatan yang memandu bot fiber membawa pil berkenaan bagaimanapun berjaya meloloskan diri ke kawasan hutan bakau tidak jauh dari lokasi kejadian.

Komander Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Dua, Asisten Komisioner Paul Khiu Khon Chiang, berkata bot fiber berkenaan dikesan sepasukan anggota Bot RH31 dari Markas Taktikal PPM Wilayah Dua Kukup, Pontian ketika sedang membuat rondaan.

“Bot fiber berkenaan terus memecut laju selepas menyedari kehadiran pihak berkuasa yang mengarahkan berhenti, namun pasukan polis terus mengejar bot dinaiki dua lelaki itu kira-kira 15 minit.

“Ketika mengejar bot berkenaan, seorang daripada suspek mencampakkan sesuatu objek ke dalam air dan terus memecut ke kawasan yang cetek sebelum melarikan diri ke dalam hutan bakau dan meninggalkan bot berkenaan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media yang turut dihadiri Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner Dzulkhairi Mukhtar di Ibu Pejabat Polis Daerah Iskandar Puteri di sini, hari ini.

Khon Chiang berkata, hasil pemeriksaan mendapati objek yang dicampak ke dalam air adalah satu beg besar berwarna hitam dan di dalamnya terdapat pil jenis ecstacy.

Sementara itu, Dzulkhairi berkata siasatan lanjut mendapati terdapat tujuh bungkusan pil ecstacy berjumlah 21,500 biji dalam beg berkenaan membabitkan lima bungkusan pil berwarna merah jambu (14,300 biji) dan dua bungkusan pil berwarna hijau (7,200 biji).

“Semua pil yang dirampas dinilai mengikut harga pasaran dan keseluruhannya dianggarkan bernilai RM645,000.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan pihak polis masih menjalankan serta giat mengesan dua lagi suspek yang berjaya meloloskan diri itu,” katanya – Berita harian