DUNGUN: Polis merampas 1,190 kotak mengandungi 595,000 karton rokok seludup dianggarkan bernilai RM1.8 juta dalam satu serbuan di Kampung Tebing Tembah Paka, dekat sini, hari ini.

Ketua Polis Daerah Dungun Superintendan Baharudin Abdullah, berkata pihaknya melakukan serbuan pada jam 4 pagi dan merampas 440 karton rokok yang sedang dipindahkan ke dalam sebuah lori.

Beliau berkata, polis turut menahan 15 suspek berusia 26 hingga 44 tahun ketika sedang melakukan kerja-kerja memunggah rokok berkenaan.

“Bertindak atas maklumat awam, seorang pegawai bersama 10 anggota polis membuat intipan di kawasan terbabit dan mendapati suspek sedang mengangkat kotak mengandungi rokok ke dalam lori.

“Polis sebelum itu melakukan siasatan dengan kerjasama nelayan tempatan melakukan pemantauan di tengah laut dan menemui sebuah bot nelayan dalam keadaan mencurigakan,” katanya hari ini.

Menurutnya, bot nelayan dipercayai milik warga Vietnam itu sedang berlabuh dan selepas dibuat pemeriksaan polis menemui banyak lagi rokok disembunyikan di bahagian dalam bot terbabit.

“Bot berkenaan kemudiannya dibawa masuk ke muara Kuala Paka manakala rokok yang ditemui dibawa naik ke jeti nelayan Kuala Paka.

“Semua suspek adalah rakyat tempatan dan rokok yang dirampas itu diserahkan kepada Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Kemaman untuk tindakan susulan.

“Rokok yang dirampas dianggarkan bernilai RM1. 8 juta dan dipercayai untuk pasaran seluruh Terengganu,” katanya – berita harian