Oleh:Nazialita Geynna Maharan

IPOH: Polis telah mengesahkan bahawa kejadian ‘culik’ seorang kanak-kanak perempuan berusia tujuh tahun oleh seorang lelaki warga Rohingya pada Isnin lepas hanyalah satu insiden salah faham.

Dalam kejadian sekitar 6.30 petang pada Isnin itu, seorang peniaga gerai sayuran berusia 50an dipercayai telah ternampak seorang lelaki warga Rohingya dikatakan cuba menarik tangan anak perempuannya.

Kejadian di Highland Park, Kuala Kamgsar. tersebut kemudian telah menarik perhatian orang ramai yang kemudiannya bertindak menyerahkan warga Rohingya itu kepada pihak polis bagi tindakan lanjut.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Perak, Senior Asisten Komisioner Yahya Abd Rahman ketika dihubungi mengesahkan bahawa bapa mangsa telah menarik repot berkenaan dengan kes terbabit.

“Kes tersebut hanyalah satu insiden salah faham dan setakat ini bapa mangsa berpuas hati dan siasatan dan tindakan polis dan tidak ingin melanjutkan atau memanjangkan laporan.

“Hasil siasatan,kami mendapati bahawa tiada sebarang niat jenayah yang berlaku di dalam kejadian ini,”katanya ketika dihubungi pada Khamis.

Yahya berkata pihaknya juga telah melaksanakan siasatan terperinci dan laporan tersebut telah diterima baik oleh ibubapa mangsa.

Katanya, hasil semakan oleh  pihak JSJ Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Kangsar juga telah mengesahkan status  Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Bagi Orang Pelarian (UNHCR) untuk warga Rohingya itu.

Sebelum ini, beberapa portal berita tempatan telah melaporkan insiden mengenai warga Rohingya yang diikat dan dimarahi oleh orang ramai kerana disyaki cuba melakukan sesuatu kanak-kanak perempuan itu.

Malah, berita yang tidak sahih itu turut menerima pelbagai respons netizen di laman sosial yang melontarkan komen negatif terhadap insiden tersebut termasuk menyuruh ibubapa berhati-hati ketika membawa anak mereka keluar.