IPOH: Polis Diraja Malaysia (PDRM) menyifatkan tangkapan dua raja dadah dari Malaysia yang ditahan pihak berkuasa Thailand baru-baru ini akan membuka peluang untuk memusnahkan rangkaian mereka di negara ini secara keseluruhannya.

Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Noor Rashid Ibrahim berkata, PDRM akan bekerjasama dengan pihak berkuasa Thailand melalui perkongsian maklumat untuk memburu anggota-anggota sindiket itu yang berada di dalam negara.

Menurut beliau, mereka dikenal pasti oleh pihak narkotik Thailand sebagai antara ‘tauke’ dadah dari sindiket besar yang bertanggungjawab memesan bekalan dadah dari segi tiga emas melalui Thailand untuk diseludup ke Malaysia.

“Dengan maklumat yang diperolehi oleh pihak berkuasa Thailand, ia akan menjadi maklumat yang sangat berguna kepada PDRM untuk kita teruskan operasi didalam negara dan sekali gus memusnahkan rangkaian kedua-dua raja dadah ini,” katanya ketika sidang media di Majlis Serah Terima Tugas Jawatan Ketua Polis Perak di sini pada Selasa.

Tambah beliau, penahanan kedua-dua raja dadah itu juga merupakan hasil kerjasama antara PDRM dan pihak berkuasa Thailand yang sentiasa mengadakan perbincangan dan pertukaran maklumat.