IPOH: Polis masih meneruskan siasatan untuk mengesan ibu bapa bayi yang ditinggalkan di hadapan surau di Kamunting, Sabtu petang.

Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (Siasatan/Perundangan) Perak, Superintendan Datin Seri Halimahton Ahmad berkata, bayi berkenaan masih berada di Hospital Taiping.

“Bayi dalam keadaan sihat dan tiada kecederaan di keseluruhan badan,” katanya dalam kenyataan pada Ahad.

Seorang anggota polis yang sedang membuat rondaan menemui bayi yang masih bertali pusat di hadapan surau Kampung Pinang Seberang, Kamunting, dekat sini, kira-kira jam 4.20 petang Sabtu.

Bayi itu yang dibungkus dengan kain, ditemui masih hidup di dalam kotak di hadapan Surau Nur Iman, Kampung Pinang Seberang, Kamunting.

Kaunter aduan Balai Polis Kamunting menerima panggilan daripada anggota yang sedang membuat rondaan, Lans Koperal Nurul Kamal yang menemui bayi itu.

Siasatan lanjut sedang dijalankan mengikut Seksyen 317 Kanun Keseksaan.