BUKIT MERTAJAM: Upah RM35 bagi setiap tan kayu getah yang dipotong, itu bayaran diterima 11 pekerja dari Myanmar dan Bangladesh yang dieksploitasi majikan warga tempatan di sebuah kilang kayu getah, di Ara Kuda, di sini.

Aktiviti itu dikesan hasil serbuan sepasukan pegawai dan anggota dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seberang Perai Tengah di premis berkenaan, Khamis lalu.

Ketua Polis Daerah SPT, Asisten Komisioner Nik Ros Azhan Nik Ab Hamid, berkata semua enam warga Bangladesh dan lima warga Myanmar itu tidak mempunyai dokumen perjalanan yang sah.

Beliau berkata, kesemua mangsa juga didapati sudah bekerja di kilang kayu getah itu sejak lima tahun lalu.

“Mangsa-mangsa terbabit juga tidak diberikan penginapan yang sesuai dan hanya diberikan pondok buruk di tepi kilang yang dibina daripada bahan terpakai.

“Mereka juga tidak dibayar gaji pokok dan hanya menerima upah memotong kayu getah antara RM35 hingga RM45 untuk setiap tan kayu getah yang dipotong,” katanya.

Nik Ros Azhan berkata, sehari purata kayu getah yang dipotong ialah satu tan.

Selain itu katanya, mangsa juga hanya diberi rehat satu hari setiap minggu dan tiada kemudahan pengangkutan.

“Jika sakit, mereka hanya diberikan ubat yang dibeli dari kedai runcit sahaja. Mereka juga tiada perlindungan insuran walaupun pekerjaan mereka berisiko tinggi kerana membabitkan mesin pemotong kayu.

“Semua mangsa tidak menyedari bahawa upah yang diterima murah dan hak sebagai pekerja tidak diberikan,” katanya.

Beliau berkata, semua mangsa terpaksa bertahan untuk bekerja di situ berikutan mereka tidak mempunyai dokumen atau permit kerja yang sah.

Susulan penemuan itu juga, polis menahan tiga suspek lelaki dipercayai penjaga dan penyelia kilang.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 12 Akta Pemerdagangan Orang (APO 2007), manakala 11 warga asing berkenaan diselamatkan mengikut Seksyen 44 Akta Anti Pemerdangan Manusia dan Anti Penyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007 – berita harian