SHAH ALAM: Polis Selangor mengutip RM1.8 juta membabitkan 14,778 saman yang diselesaikan pesalah trafik pada hari pertama tawaran diskaun 50 peratus di seluruh negeri ini.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Selangor, Superintendan Azman Shariat, berkata tawaran diskaun ini susulan minggu bersama pelanggan JSPT Selangor bagi di semua Ibu Pejabat Daerah (IPD) di Selangor kecuali KLIA.

Katanya, IPD KLIA tidak melaksanakan program ini kerana masih belum diperuntukkan kod daerah untuk pembayaran.

“Sambutan yang diterima masyarakat dalam pembayaran saman pada kali ini amat menggalakkan. Semua IPD menyediakan tempat menunggu dan menggunakan sistem nombor giliran.

“Namun, proses pembayaran saman berjalan perlahan pada waktu pagi semalam berikutan gangguan capaian ke server COPS B dan keadaan mulai lancar jam 1 tengah hari.

“Secara keseluruhan, program ini berjalan lancar dan baik,” katanya dalam satu kenyataan.

Katanya, tawaran diskaun ini dibuat selama tiga hari bermula semalam dan akan berakhir esok.

Beliau berkata, orang awam yang mahu menjelaskan saman tertunggak boleh hadir ke IPD yang terpilih bermula jam 9 pagi hingga 4.30 petang.

Semua saman layak mendapat diskaun kecuali saman kemalangan tahun semasa, saman berstatus NC (non-compoundable), saman berstatus waran tahun semasa, saman dalam perbicaraan atau berstatus mahkamah dan saman Op Selamat Tahun Semasa dan saman berkaitan lori – berita harian