KUALA LUMPUR: Polis menyerbu kedai barangan lusuh yang dijadikan makmal memproses dadah selepas menahan seorang individu dan merampas lebih 77 kilogram (kg) dadah jenis syabu dianggarkan bernilai RM10.4 juta di Taman Gembira, Brickfields di sini, Ahad lalu.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Seri Mazlan Lazim, berkata serbuan dijalankan Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) dan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur pada jam 2 petang itu selepas menerima maklumat awam.

Beliau berkata, ketika serbuan dijalankan, seorang lelaki berusia 27 tahun berada di lokasi dan berjaya ditahan sebelum polis berjaya membongkar makmal memproses dadah di bahagian belakang premis berkenaan.

“Pemeriksaan di makmal itu menemui pelbagai jenis peralatan memproses dadah jenis syabu termasuk alat penimbang, penapis plastik, balang kaca dan dapur elektrik

“Polis turut menemui syabu siap diproses seberat 77 kg. Premis ini dijadikan pusat pemprosesan dadah terbesar di Kuala Lumpur,” katanya pada sidang media di IPK Kuala Lumpur di sini, hari ini.

Mazlan berkata, polis turut menemui pelbagai bahan kimia digunakan untuk memproses syabu berkenaan.

“Siasatan awal mendapati individu terbabit adalah pakar membuat syabu berkualiti tinggi. Kita difahamkan harga syabu dibuat mereka berbeza kerana kualiti yang baik.

“Syabu berkenaan dijual dengan harga RM70,000 bagi sekilogram dan dipercayai untuk pasaran Lembah Klang,” katanya.

Beliau berkata, ujian saringan air kencing terhadap lelaki yang ditahan itu mendapati dia positif dadah jenis syabu.

“Suspek kini direman sehingga 8 April bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Kanun Keseksaan,” katanya – berita harian