PORT DICKSON: Polis mengesahkan menerima laporan kekecohan kecil yang berlaku di pusat pengundian di Sekolah Kebangsaan Port Dickson (SKPD) di sini, pagi tadi.

Difahamkan kekecohan membabitkan penyokong Barisan Nasional (BN) dan PKR itu berikutan penemuan kertas undi palsu yang dipercayai diedarkan seorang remaja orang kurang upaya (OKU) perempuan berusia 14 tahun di luar pusat pengundian.

Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Noor Azam Jamaludin, ketika dihubungi, mengesahkan pihaknya menerima laporan yang dibuat seorang wakil PKR kira-kira jam 10.30 pagi.

“Kami masih menyiasat kejadian itu dengan teliti termasuk mengenal pasti jika ada pihak tertentu yang mengupah remaja terbabit mengedarkan kertas undi palsu berkenaan.

“Kes itu disiasat mengikut Seksyen 24B (7) Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954,” katanya – berita harian