KUALA LUMPUR: Polis masih menyiasat lokasi sebenar kejadian rakaman video seorang remaja lelaki yang mencampak kon dari tingkat atas sebuah bangunan kediaman, yang tersebar luas di media sosial sejak kelmarin.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Senior Asisten Komisioner Rusdi Mohd Isa, berkata pihaknya sudah membuat siasatan berhubung kejadian itu melalui semakan pada rakaman video berkenaan di media sosial.

“Hasil semakan awal mendapati, kebanyakan komen yang diterima adalah daripada netizen Singapura. Namun belum dapat dipastikan sama ada lokasi sebenar kejadian berlaku di pusat bandar ini atau di negara jiran berkenaan.

“Ini kerana pihak kami masih belum menerima sebarang laporan polis berhubung kejadian itu sehingga ke hari ini,” katanya ketika dihubungi.

Dalam rakaman dipercayai dimuat turun di Instagram Stories (IG Stories) itu, seorang remaja lelaki dilihat mengangkat kon sambil ketawa sebelum mencampaknya ke tingkat bawah.

Rakaman video itu tersebar di media sosial, termasuk Facebook selepas dikongsi oleh netizen yang mempertikaikan tindakan remaja lelaki berkenaan.

Pada 15 Januari lalu, S Sathiwaran, yang juga pelajar Tingkatan Tiga Sekolah Menengah Kebangsaan La Salle, Petaling Jaya, maut di lokasi kejadian akibat cedera parah di kepala disebabkan hentaman kerusi yang dicampak dari tingkat atas di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Seri Pantai, Pantai Dalam, di sini – berita harian