PETALING JAYA : Polis membuka 5 kertas siasatan berkaitan penyebaran khabar angin dan berita palsu di media sosial berhubung penularan wabak koronavirus yang meragut lebih 130 nyawa sehingga kini.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Huzir Mohamed berkata, pihaknya memulakan siasatan itu pada 24 Jan lalu di bawah Seksyen 203 (A) dan Seksyen 505 (b) Kanun Keseksaan serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 kerana mendapati ia boleh menggugat ketenteraman awam.

Beliau berkata, pihaknya sedang menyiasat akaun Facebook Kong Tuck Wah selepas menerima laporan berhubung isu koronavirus yang disebarkan di laman itu.

Kes ke-2 membabitkan akaun Facebook bernama “Ibu Yati” yang mendakwa 1,000 orang dari China tiba di Pulau Pinang dan jika darurat hanya akan dilaksanakan selepas Menteri Kewangan, Lim Guan Eng dijangkiti virus koronavirus.

Kes ke-3 membabitkan Facebook “Roti Sardeen” yang mendakwa seorang pelancong China maut dalam sebuah bas dari Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2.

Kes ke-4 ialah Facebook kumpulan “Gabungan Anak Terengganu” yang mendakwa beberapa individu disyaki pesakit koronavirus sedang dirawat di Hospital Sultanah Nur Zahirah, Kuala Terengganu.

Kes terakhir membabitkan berita palsu disebarkan di WhatsApp berhubung kematian banduan secara mengejut di penjara Sandakan, Sabah yang didakwa akibat virus koronavirus.

Katanya, polis tidak teragak-agak mengambil tindakan terhadap pihak yang ingin menjadi jaguh internet dan laman sosial dengan sengaja mensensasikan wabak koronavirus.

“Bagi mendapatkan perkembangan terkini berkenaan isu koronavirus ini, orang awam dinasihatkan merujuk laman web atau kenyataan Kementerian Kesihatan bagi mendapatkan maklumat tepat dan sahih.”