KUALA LUMPUR: Polis akan menyiasat berhubung satu laporan polis yang tular di media sosial, mengenai kegagalan membeli tiket dalam talian bagi perlawanan akhir pertama Piala AFF 2018 antara Malaysia menentang Vietnam di Stadium Nasional Bukit Jalil di sini, Selasa ini.

Sebanyak 40,000 tiket perlawanan itu sudah dijual dalam talian manakala sebanyak 40,000 terjual di stadium dan di Wisma FAM di Kelana Jaya serta kedai sukan Al Ikhsan di Putrajaya, hari ini.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Seri Mazlan Lazim, berkata pihaknya akan menjalankan siasatan sekiranya menerima sebarang laporan.

“Kita akan melihat perkara ini mengikut undang-undang yang ada, sebelum memutuskan untuk mengambil sebarang tindakan,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur di sini, hari ini.

Terdahulu, gambar menunjukkan sebuah laporan polis tanpa nama yang difahamkan dibuat oleh seorang peminat bola sepak negara yang tidak puas hati dengan proses penjualan tiket perlawanan Skuad Harimau Malaya, menjadi viral di media sosial.

Sementara itu, Mazlan berkata pihaknya mengawal kawasan Stadium Nasional Bukit Jalil pagi tadi selepas kira-kira 10,000 peminat bola sepak hadir untuk membeli tiket.

“Keadaan sekitar stadium sesak, bagaimanapun tiada kejadian tidak diingini berlaku,” katanya.

Hampir berlaku kekecohan dalam usaha penyokong Malaysia mendapatkan tiket perlawanan akhir Piala AFF Suzuki sehingga menyebabkan ada yang memerlukan rawatan perubatan akibat kepenatan.

Sejumlah besar daripada mereka beratur sejak malam tadi, malah ada yang memasang khemah di hadapan beberapa kaunter tiket untuk mendapatkan tiket perlawanan Selasa ini – berita harian