IPOH: Polis Perak berjaya menahan 12 ahli kongsi gelap Geng 36 yang terbabit mencederakan tujuh mangsa dengan menggunakan senjata tajam di Kampung Pisang, Chemor pada Sabtu lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Perak, Datuk Gan Tian Kee berkata, turut dirampas bersama suspek berusia 21 hingga 36 tahun itu adalah 13 senjata tajam, termasuk kerambit dan parang yang dipercayai digunakan dalam jenayah tersebut.

Menurut beliau, dalam kejadian pada awal pagi Sabtu lalu, kira-kira 20 ahli kumpulan tersebut termasuk 12 yang diberkas telah mencederakan sekumpulan lelaki dengan menggunakan pelbagai senjata tajam.

 “Berlaku kes rusuhan dengan senjata membabitkan tujuh mangsa berusia 21 hingga 24 tahun yang sedang lepak di kawasan lapang di Kampung Pisang, sebelum diserang sekumpulan 20 lelaki.

 “Kumpulan mangsa yang diserang mengalami kecederaan termasuk ada yang terpaksa dirawat di wad hospital, manakala semua suspek berjaya melarikan diri sebaik polis tiba dilokasi pergaduhan,” katanya dalam sidang media di Ipoh pada Rabu.

 Beliau memberitahu, susulan daripada kejadian itu, pihak polis telah membuat serbuan berasingan pada Ahad dan Selasa sehingga tertangkapnya 12 suspek berkenaan.

“Kesemua 12 suspek yang diberkas kini direman selama empat hari dan kes disiasat mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan kerana merusuh dengan senjata,” ujarnya

Beliau menambah, polis juga sedang mengesan baki lapan lagi suspek termasuk ketua kumpulan yang dipercayai terbabit dalam serangan itu.