Oleh:Nazialita Geynna Maharan

IPOH: Polis menahan sembilan individu termasuk seorang remaja berusia 16 tahun dalam sebuah serbuan yang melibatkan rampasan dadah jenis heroin di Taman Silibin Ria, di sini pada awal pagi Rabu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) negeri, Asisten Komisioner V.R. Ravi Chandran berkata, pihaknya merampas dadah jenis heroin seberat 460 gram di dalam sebuah rumah ketika serbuan itu.

Jelasnya, serbuan sekitar pukul 4 pagi oleh Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) negeri itu mendapati sembilan individu tersebut mempunyai pertalian keluarga.

“Kesemua suspek yang ditahan melibatkan empat orang lelaki dan lima orang wanita yang berusia dalam lingkungan 16 hingga 51 tahun.

“Hasil pemeriksaan di rumah berkenaan polis menemui lima paket plastik mengandungi dadah jenis heroin yang dianggarkan bernilai RM11,500,” katanya dalam satu kenyataan media di sini.

Ravi berkata, siasatan awal mendapati tiga daripada individu berkenaan mempunyai rekod jenayah lampau dan polis turut menyita sebuah kereta dan motosikal.