IPOH: Polis menahan dua orang lelaki yang dipercayai terlibat dalam kes samun wanita warga emas di Taman Kampar, Pasir Puteh pada petang Selasa.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Sum Chang Keong berkata, suspek lelaki pertama ditangkap di sebuah rumah sekitar Kg Cik Zainal, Chemor pada 4.21 pagi Rabu manakala suspek kedua diberkas di Kampung Tersusun Batu 5, Tambun sekitar 30 minit kemudian pada hari sama.

Aksi rakaman kedua-dua suspek sekitar 20-an yang dipercayai cuba menyamun wanita warga emas dikatakan menular di laman sosial.

Ketika mengulas lanjut mengenai kejadian tersebut, Sum berkata, sekitar 3.20 petang Selasa, seorang wanita berusia 68 tahun telah didatangi oleh dua orang lelaki di bahagian belakang deretan kedai di Taman Kampar.

“Kedua-dua suspek menaiki sebuah motosikal menghampiri mangsa berusia 68 tahun tersebut ketika warga emas berkenaan sedang berjalan ke arah keretanya yang diletak di belakang deretan kedai di kawasan tersebut.

“Selepas itu, suspek secara tiba-tiba datang lalu bertindak menarik baju serta meminta wang daripada mangsa, namun mangsa menjerit meminta pertolongan dan orang ramai yang terdengar jeritan itu datang membantu,” katanya dalam satu kenyataan di sini.

Bagaimanapun, kedua-dua suspek berjaya melarikan diri dan mangsa tidak mengalami sebarang kecederaan.

Menurut Sum, suspek ditangkap secara berasingan di sekitar bandar raya ini susulan maklumat awam serta rakaman kamera litar tertutup di tempat kejadian.

Jelasnya, kedua-dua lelaki itu kini direman selama enam hari bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 393 Kanun Keseksaan.