LUMUT 21 Jun – Polis menahan empat suspek kumpulan yang dipercayai terlibat dalam kes pecah rumah di kawasan Lumut di Apartment Bukit Permata, di sini semalam.

Timbalan Ketua Polis Daerah Manjung, Deputi Superitenden Chong Boo Khim berkata, penahanan kesemua suspek bermula setelah polis menahan seorang lelaki berusia 34 tahun di Apartment Bukit Permata pada pukul 3.50 petang selepas keadaannya yang mencurigakan.

Menurutnya, ekoran daripada tangkapan itu, polis kemudiannya menahan tiga lagi suspek iaitu dua perempuan dan seorang lekaki berusia antara 24 dan 36 tahun di dalam rumah yang sama.

“Polis menemukan beberapa peralatan yang digunakan¬†untuk kegiatan pecah rumah. Selain itu polis turut merampas periuk nasi, sebuah televisyen, geran motosikal jenis Yamaha RXZ, kipas, satu paket minyak, kasut operasi dan lima unit telefon bimbit,” katanya dalam sidang akhbar, di sini hari ini.

Menurutnya, tiga suspek didapati mempunyai rekod jenayah lampau iaitu kes curi dalam bangunan serta dadah.

Katanya, tiga daripada empat suspek tersebut didapati positif dadah dan kumpulan berkenaan dipercayai melakukan kegiatan pecah rumah di kawasan Lumut sejak lima bulan lalu.

“Kumpulan ini dipercayai terlibat dalam enam kes pecah rumah,” katanya.

Menurutnya, semua suspek kini ditahan reman selama empat hari sehingga 24 Jun dan kes disiasat di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan. – UTUSAN ONLINE