PARIT BUNTAR – Polis telah menahan seorang lelaki dipercayai individu yang melakukan ritual di sebuah tokong kecil sambil memakai kopiah dan berkain pelekat yang tular dalam media sosial hari ini.

Lelaki berusia 43 tahun itu diberkas oleh sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Kerian di perkarangan IPD berkenaan pada pukul 5 petang.

Ketua Polis Daerah Kerian, Superintenden Omar Bakhtiar Yaacob berkata, lelaki terbabit ditahan bagi membantu siasatan berhubung rakaman video yang tular baru-baru ini.

Katanya, tiada rampasan dilakukan kerana pakaian yang dipakai oleh lelaki itu seperti mana dalam rakaman video tersebut telah dibuang oleh individu tidak dikenali.

“Lelaki itu kini ditahan di lokap Balai Polis Bagan Serai dan permohonan reman terhadapnya akan dilakukan di Mahkamah Parit Buntar, hari ini.

“Siasatan kes ini dijalankan mengikut Seksyen 298A Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998,” katanya.

Video berdurasi 15 saat yang tular dalam media sosial termasuk di Facebook sejak Khamis lalu itu memaparkan lelaki terbabit sedang melutut sambil memegang colok dan kelihatan berdoa di hadapan tokong tersebut yang perlakuannya itu dirakam individu lain. – UTUSAN ONLINE