TAIPING: Polis menahan seorang lelaki ekoran tular kejadian seekor anjing diheret dalam keadaan tergantung dengan kenderaan pacuan empat roda di Jalan Kota, di sini, pada Ahad.

Pemangku Ketua Polis Daerah Taiping, Superitanden Razlam Abd Hamid berkata, lelaki berumur 58 tahun itu ditahan pada Isnin, ekoran aduan yang dibuat orang awam.

Menurut beliau, kira-kira pukul 3.45 petang Isnin, pengadu telah menerima satu pesanan video dari Wechat kawannya mengenai kejadian itu.

“Di dalam video tersebut, terdapat sebuah kenderaan jenis Isuzu Dmax telah mengikat seekor anjing dan terus mengheret anjing itu sepanjang perjalanan kereta tersebut pergi.

“Pengadu merasa tidak puas hati dengan tindakan pemilik kenderaan tersebut kerana tidak berhati perut mengheret anjing tersebut tanpa belas kasihan,” katanya kepada pemberita pada Selasa.

Razlam berkata, setelah semakan dibuat, didapati kenderaan tersebut didaftar atas nama seorang lelaki.

Bagaimanapun, katanya, hasil temu bual dengan lelaki tersebut, kenderaan itu digunakan oleh ayahnya pada malam kejadian.

Suspek dikatakan telah memelihara anjing tersebut lebih setahun dan mahu membuangnya kerana sering menggigit wayar di rumahnya.

“Anjing tersebut diletakan di bahagian belakang kenderaan tetapi dikatakan tidak sedar anjing telah terjatuh,” kata Razlam.

Katanya, suspek ditahan reman mulai 12 – 15 Februari manakala anjing tersebut telah dilepaskan suspek di pasar Aulong sebelum dia ditahan.

Kes di klasifikasikan di bawah Seksyen 44 (1)(a) Akta Binatang 1953.