IPOH – Polis berjaya menahan seorang lelaki dipercayai terlibat dalam kegiatan mencuri kabel Telekom Malaysia (TM) di sebuah kebun kelapa sawit di Taman Desa Pinji, Lahat dekat sini semalam.

Dalam serbuan dijalankan sepasukan pegawai dan anggota Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh pada jam 8.30 pagi itu, lelaki berusia 24 tahun tersebut ditahan ketika sedang membakar sebahagian kabel berkenaan.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Sum Chang Keong berkata, serbuan untuk menangkap suspek dilakukan selepas menerima maklumat daripada orang awam mengenai kegiatan lelaki yang berasal dari Seri Manjung itu.

Jelasnya, selain itu, polis turut merampas lima batang kabel separuh terbakar, satu longgok kabel yang siap dibakar, satu guni mengandungi dawai, dua batang kuku besi, satu bilah kuku kambing, plat nombor pendaftaran kereta dan telefon bimbit.

“Setakat ini, polis sedang menyiasat lokasi kabel tersebut dicuri oleh suspek. Selain itu, kita juga masih belum mengenal pasti anggaran nilai kabel tersebut sekiranya dijual.

“Siasatan juga mendapati, suspek tidak mempunyai sebarang rekod lampau dalam sebarang kes jenayah,” katanya pada sidang akhbar di IPD Ipoh di sini sebentar tadi.

Kes disiasat mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan kerana mencuri. – K! ONLINE