Oleh:Nazialita Geynna Maharan

SERI ISKANDAR: Kegiatan seorang pelajar institut pengajian tinggi (IPT) di sini yang disyaki berperanan sebagai pengedar dadah, akhirnya terbongkar apabila dia diberkas polis pada Rabu lepas.

Dalam kejadian sekitar 6.30 petang, sepasukan polis yang bertindak atas maklumat risikan, telah menahan lelaki berketurunan India berusia 23 tahun di IPT berkenaan.

Ketua Polis Daerah Perak Tengah, Superitendan Mohd Zainal Abdullah berkata, pihaknya mengesyaki lelaki berkenaan merupakan sebahagian daripada sindiket pengedaran dadah yang aktif di dalam IPT itu.

“Pelajar itu yang berasal dari Cheras dan menuntut dalam tahun akhir Ijazah Kejuruteraan Petroleum ditahan di tandas blok kediaman pelajar.

“Polis menemui 25 paket plastik lutsinar mengandungi bahan disyaki dadah jenis ganja seberat 248.70 gram yang dianggarkan bernilai RM1,700,” katanya pada satu sidang akhbar di sini pada Jumaat.

Mohd. Zainal berkata, pelajar itu yang bakal menamatkan pengajiannya tidak lama lagi, dipercayai salah seorang ahli sindiket pengedaran bahan-bahan terlarang di institusi pengajian tersebut.

Katanya, pihak polis akan menyiasat dengan lebih lanjut untuk mengenalpasti ahli sindiket pengedaran dadah ini yang dipercayai aktif sejak beberapa bulan lepas.

“Sebenarnya, amat menyedihkan apabila kita melihat anak bangsa melakukan perbuatan sebegini tanpa memikirkan masa depan mereka,” ujarnya.

Beliau berkata, kes terhadap pelajar itu disiasat di bawah Seksyen 39 B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 15(1) (a) akta yang sama.

Suspek yang tidak mempunyai sebarang rekod jenayah lampau kini direman tujuh hari sehingga 31 Mei ini untuk membantu siasatan, katanya lagi.