BAGAN SERAI: Polis menahan pemilik berdaftar kenderaan utiliti sukan (SUV) Nissan X-Trail yang terlibat dalam kemalangan di Kilometer 190.6 Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) arah selatan pada Ahad, yang menyebabkan tiga warga Myanmar maut manakala 11 cedera, termasuk tujuh parah.

Ekoran penahanan M. Vasudavan, 56, di Taman Pelangi, Kampar, petang Ahad, polis kemudiannya menahan seorang warga Myanmar, Law Kee Thang, 30an di Sungai Siput Selatan pada hari yang sama.

Ketua Polis Daerah Kerian, Superintendan Omar Bakhtiar Yaacob berkata, hasil siasatan, polis percaya nama lelaki tempatan itu digunakan untuk membeli kenderaan berkenaan dua tahun lalu.

“Tangkapan pertama telah menyerahkan kereta tersebut kepada satu lelaki warganegara Myanmar yang dikenali dengan nama panggilan Ah Hong.

“Ah Hong telah memberikan duit sebanyak RM300 sebagai duit belanja kepada tangkapan pertama dan mengambil kereta Nissan X-Trail tersebut,” katanya dalam sidang media di pejabatnya di sini pada Isnin.

Menurutnya, Polis telah mengandakan usaha memburu Ah Hong yang dipercayai salah seorang daripada dua lelaki yang melarikan diri selepas kemalangan itu.

Omar Bakhtiar berkata, berdasarkan siasatan awal, semua mangsa kemalangan berada di sempadan Malaysia – Thailand selama dua malam.

“Mereka kemudiannya menaikj sebuan kenderaan dengan berhimpit-himpit dan apabila di pertengahan jalan, X-Trail ini mengambil dan membawa mereka, menghantar ke destinasi yang kita belum tahu,” ujarnya.

Katanya, polis masih menjalankan siasatan lanjut tetapi menghadapi sedikit masalah kerana masalah bahasa.

Menurutnya, jurubahasa daripada
Kedutaan Myanmar memerlukan masa untuk berkomunikasi kerana mangsa datang daripada pelbagai etnik.

Kes disiasat di bawah Seksyen 26(A) Anti Penyeludupan Migran 2007 dan Seksyen 6(1)c Akta Imigresen 1959/1963.

Suspek ditahan reman di bawah Seksyen 4 Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 mulai 20 Mei hingga 17 Jun.