Oleh: Shafiq Noordin

SELAMA: Polis memberkas seorang lelaki dipercayai pengedar dadah dan merampas sebutir bom tangan jenis M35 serta peletus dalam satu serbuan di sebuah rumah di Kampung Belukar Hantu, Sungai Bayor di sini pada Jumaat lalu.

Ketua Polis Daerah Selama, Deputi Superintendan Loo Lian Lay berkata, dalam serbuan yang dilakukan oleh sepasukan anggota dari Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik negeri di rumah suspek berusia 48 tahun itu, polis turut menemui dadah pelbagai jenis dan dua laras senapang patah buatan sendiri.

“Bertindak atas maklumat, serbuan itu telah dibuat pada sekitar jam 12.45 tengah hari di rumah suspek dan kita menjumpai satu paket dadah jenis Syabu serta sebutir bom tangan jenis M35 yang dipercayai milik suspek.

“Hasil soal siasat kemudiannya membawa kepada penemuan empat paket dadah jenis heroin bernilai lebih RM16,000 di sebuah pondok yang terletak kira-kira 200 meter dari kolam ternakan ikan dan udang milik suspek,” katanya dalam satu sidang media khas di sini pada Selasa.

Liam Lay menambah, turut dirampas dalam serbuan itu ialah dua laras senapang patah buatan sendiri bersama 37 butir peluru penabur serta sebuah pacuan empat roda dan dua buah motosikal berkuasa tinggi.

Menurut beliau, risikan mendapati suspek telah bergiat aktif dalam kegiatan pengedaran dadah di daerah Selama sejak empat bulan lalu dengan berselindung di sebalik aktiviti menternak ikan dan udang.

“Hasil semakan rekod lampau mendapati suspek mempunyai dua rekod iaitu Seksyen 39A(1) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952, tujuh tahun lalu.

“Kita masih lagi menyiasat senjata api itu, dia (suspek) beritahu digunakan untuk mencegah binatang makan ikan, tetapi kita akan pastikan ia betul atau tidak,” katanya.

Lelaki itu kini ditahan reman selama tujuh hari dan kes disiasat di bawah Seksyen 39B dan 39A(2) Akta Dadah Berbahaya 1952, Seksyen 8(a) Akta Senjata Api Penalti lebih Berat 1960 serta Akta Dadah Berbahaya (Perlucuthakan Harta) 1988.