IPOH: Kegiatan sepasang suami isteri yang menjadikan rumah pusaka sebagai lokasi aktiviti pembungkusan dan pengedaran dadah terbongkar apabila mereka ditahan dalam serbuan di sebuah rumah di Changkat Jering dekat Taiping, kelmarin.

Kedua-dua suspek berusia 51 dan 54 tahun itu ditahan sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Taiping, kira-kira jam 2 petang.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) negeri, Asisten Komisioner V.R. Ravi Chandran berkata, dalam serbuan itu, polis menjumpai heroin seberat 2,930 gram, 2,105 gram ganja dan 550 gram syabu.

Menurut beliau, polis turut merampas peralatan yang dipercayai digunakan untuk membungkus dadah tersebut ke dalam paket-paket kecil.

“Ketika serbuan dilakukan, suami isteri itu berada di ruang tamu rumah dan pemeriksaan di kediaman tersebut menjumpai pelbagai jenis dadah seberat 5.6 kilogram dengan anggaran nilai RM269,250.

“Semakan mendapati, suami isteri tersebut mempunyai rekod kesalahan lampau bersabit kes dadah dan ujian saringan air kencing yang dilakukan juga positif ganja,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu pejabat Polis Kontinjen (IPK) negeri di sini, pada Jumaat.

Menurut Ravi Chandran, dalam serbuan itu, pihaknya turut menyita sebuah kereta jenis Perodua Axia dengan anggaran nilai RM25,000.

Beliau memberitahu, pemerhatian terhadap kedua-dua suspek dijalankan sejak dua bulan lalu dan siasatan akan dilakukan bagi mengetahui tempoh mereka aktif melakukan kegiatan tersebut

“Siasatan awal mendapati pasangan suami isteri ini dipercayai mengedarkan bahan terlarang tersebut di sekitar Taiping.

“Kedua-dua suspek kini direman tujuh hari bermula semalam sehingga Rabu depan untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.