IPOH: Polis Perak telah menahan seorang suspek lelaki yang dipercayai terlibat dengan kes bunuh seorang ibu tunggal berusia 53 tahun di Taman Datuk Lew Yap Sip, di sini pada Isnin.

Ketua Polis Daerah Ipoh ACP Sum Chang Keong berkata, suspek berusia 34 tahun yang bekerja sebagai peniaga di Pasar Besar Kampung Rapat itu telah ditahan di Ipoh sekitar jam 12 tengah hari tadi.

Menurut beliau, polis menerima panggilan sekitar jam 7 pagi mengenai kes bunuh tersebut dan hasil pemeriksaan mendapati terdapat kesan pecah di bahagian pintu masuk rumah serta pintu bilik si mati.

“Si mati telah dijumpai di bilik utama tingkat dalam keadaan terlentang di atas katil berlumuran darah.

“Bertindak atas maklumat, sekitar jam 12 tengah hari sepasukan polis dari Ibu Pejabat Daerah Ipoh telah buat tangkapan ke atas suspek yang dipercayai mempunyai kaitan dengan kejadian itu,” katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan.

Beliau memberitahu, suspek akan direman di bawah Seksyen 117 KPJ dan siasatan lanjut sedang diteruskan.

Sum memberitahu, hasil bedah siasat mendapati mangsa yang bekerja sebagai pembantu kedai runcit itu maut akibat pendarahan berlebihan ekoran luka-luka tikaman.

Dalam kejadian jam 5.50 pagi Isnin, mangsa yang dikenali sebagai Hamidah Abdul Rahman, ibu kepada empat orang anak itu, ditemui mati oleh anak bongsunya Noor Shairah Hussin di bilik tidur utama rumah mereka.

Difahamkan, mangsa baru sahaja melangsungkan majlis pertunangan pada Khamis lalu dan merancang berkahwin pada Mei ini dengan seorang anggota polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh.