BALIK PULAU: Polis menahan tujuh remaja lelaki selepas berlumba menuruni bukit menggunakan basikal lajak di Jalan Titi Serong, di sini, malam tadi.

Ketua Polis Daerah Barat Daya, Superintendan AA Anbalagan, berkata mereka yang berusia antara 10 tahun hingga 15 tahun itu ditahan ketika berlumba menuruni bukit di Jalan Tiri Serong-Batu Hitam, kira-kira jam 11 malam.

Katanya, terdahulu, sekumpulan lima anggota trafik dari Bahagian Siasatan Dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Barat Daya digerakkan ke lokasi sebaik menerima maklumat daripada orang awam.

“Setiba di lokasi, kami dapati kumpulan remaja berkenaan sedang berlumba dan semua mereka ditahan sebelum dibawa ke IPD Barat Daya.

“Saman dikeluarkan ke atas mereka mengikut Peraturan 42(3) LN 166/59 Kaedah-kaedah Lalu Lintas 1959. Semua mereka sudah dibebaskan pagi ini,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini – berita harian